Berita

Kemuncak Miss Tourism International World Final di Raia Hotel & Convention Centre, 25 November
Tarikh : 21 Nov 2022
 

KUCHING: Kemuncak pertandingan Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023 bakal diadakan di Raia Hotel & Convention Centre pada jam 7 malam, 25 November ini.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023 Esther Law Lee Poh dalam satu kenyataan semalam.

"Ratu cantik dari pelbagai negara yang mengambil bahagian dijangka akan menyertai beberapa siri aktiviti promosi yang dirancang rapi oleh pihak kami sebelum acara kemuncak.

"Acara ini bakal menjadi tumpuan seluruh dunia kerana ia merupakan salah satu acara ratu cantik terbesar di Sarawak, Malaysia, malah di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis Mempersembahkan Acara ‘Cats Around The World' Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023 itu di pusat beli-belah Farley, Kuching. 

Pada masa yang sama, para peserta ratu cantik itu berkumpul di bandar raya Kuching menjadikan ia sebagai tumpuan utama pertandingan Miss Tourism International kali ini.

Teras utama pertandingan tersebut tambah Easter adalah untuk 'Menggalakkan Pelancongan, Kebudayaan, Jalinan Persahabatan dan Jalinan Antarabangsa' yang mendapat sokongan padu daripada Farley Group di sini.

'Cats Around The World' semalam berjaya menampilkan lima ratu cantik dari Brazil, Rusia, Burundi, Venezuela dan Filipina yang memenangi kategori potret terbaik selepas merakam gambar bersama kucing dari negara masing-masing.

Ia mewujudkan platform untuk mempromosikan pelancongan di bandar raya Kuching dan berupaya mempromosikan dan memperkembangkan lagi industri pelancongan tempatan di sini.

Gambar-gambar ratu cantik bersama kucing ini kemudiannya akan dipamerkan sebagai karya seni di Muzium Kucing di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Acara ini turut diadakan sempena mengalu-alukan kedatangan ratu cantik antarabangsa ke Sarawak untuk kempen 'More To Discover'.

YAST Group merupakan penganjur utama Miss Tourism International World Final ke-25 2022/2023, yang mendapat sokongan padu Kerajaan Sarawak dalam mengalu-alukan ratu cantik Miss Tourism International dari seluruh dunia ke Sarawak.

Turut hadir Presiden Miss Tourism International merangkap Pengasas D'Touch International Tan Sri Datuk Danny Ooi.