Berita

Penduduk rumah panjang perlu mantapkan sistem keselamatan
Tarikh : 12 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik berkata kepekaan terhadap perkara itu amat penting dalam memastikan tahap keselamatan sesebuah rumah panjang sentiasa terjamin terutama melibatkan isu kemusnahan berpunca daripada kebakaran.

"Sepanjang tahun ini, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian terdapat dua kejadian kebakaran rumah panjang  direkodkan.

"Musibah ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian amat besar terutama melibatkan kehilangan harta benda dan tempat tinggal," katanya pada Program Bomba Komuniti dan Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Nyueok Sang, Nanga Maras, Krian, semalam.

Program itu adalah anjuran Majlis Daerah Saratok (MDS) dihadiri sekitar 200 penduduk setempat.

Friday berkata, kesan daripada masalah itu amat besar kepada penduduk terjejas dan secara tidak langsung memberi impak besar kepada ekonomi dan sosial mereka.

"Dari aspek keselamatan, penduduk perlu peka terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku dan mengambil kira pelbagai sudut berdasarkan maklumat daripada bomba.

"Kebanyakan kebakaran berlaku berpunca daripada kecuaian seperti tidak memadam atau memantau perkakas dapur ketika dan selepas memasak, litar pintas akibat penyambungan sumber elektrik tidak sah atau penggunaan soket terlampau banyak serta beberapa isu lain," jelasnya.

Beliau mahu penduduk memandang serius perkara itu dan mengambil beberapa langkah atau pendekatan mencegah kebakaran seperti sentiasa memastikan dapur selamat, tiada kebocoran gas dan memadam perkakas memasak apabila tiada di dapur, tidak melakukan penyambungan elektrik berlebihan atau tidak sah dan memastikan setiap rumah panjang mempunyai alat pemadam api.

"Kita berharap perkara itu sentiasa diberikan perhatian khusus oleh semua penduduk.

"Selain itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) boleh menjemput bomba ke rumah panjang mereka untuk memberi ceramah kesedaran kebakaran atau perkara-perkara lain berkaitan bagi memastikan penduduk dapat menimba ilmu dan pengetahuan berkaitan masalah ini," katanya.

Friday berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran program seumpama itu terutama bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin dan masalah kebakaran rumah panjang dapat dielakkan.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RTP 2023 sejumlah RM200,000 dan RM5,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nyueok dan Biro Wanita rumah panjang terbabit.

Hadir sama Pemangku Setiausaha MDS Liam Entili, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohd Shukor, kakitangan MDS serta ketua-ketua masyarakat setempat