Berita

Pesta Benak hidupkan semula pelancongan Simanggang
Tarikh : 12 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

SRI AMAN: Penganjuran Pesta Benak Sri Aman 2022 selama tiga hari mulai 9 September memberi banyak manfaat termasuk menghidupkan semula industri pelancongan di bandar Simanggang. 


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival ikonik itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


Ia katanya, merupakan salah satu acara yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh masyarakat tempatan tetapi juga dari seluruh Sarawak.


“Saya dimaklumkan beberapa bulan sebelum pesta ini diadakan, hotel dan inap desa di sekitar kawasan ini sudah menerima banyak tempahan. Ia jelas menunjukkan perkembangan yang amat positif dalam industri pelancongan kita.


“Saya percaya dengan sambutan positif ini juga akan memberi peluang untuk pemain industri berkaitan melihat kemungkinan untuk mewujudkan lebih banyak hotel di kawasan ini,” katanya pada majlis penangguhan Pesta Benak Sri Aman 2022 di Astaka Regatta Benak, bandar Simanggang di sini, semalam.


Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta tetamu kehormat lain.


Melalui usaha sedemikian, Abdul Karim berkata, ia akan membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan industri pelancongan dianjurkan di kawasan berkenaan.


Abdul Karim berkata, dalam usaha mempromosikan festival dan produk ekopelancongan seperti Benak Batang Lupar sebagai ikon unik di Sarawak dan bahagian Sri Aman khususnya, festival itu telah lama dipromosikan secara aktif dalam pelbagai platform media.


“Usaha ini telah menjadikan Pesta Benak kita semakin dikenali dan dikagumi oleh ramai masyarakat dunia sehingga benak Sri Aman telah diiktiraf antara benak yang terbaik di dunia.


“Dan kini bandar Simanggang dikenali sebagai ‘Bandar Benak Malaysia’ dan para pengunjung sering berkunjung ke bandar Simanggang ini semata-mata ingin melihat sendiri akan keunikan fenomena benak,” katanya.


Menurutnya, Pesta Benak Sri Aman merupakan salah satu acara tahunan yang popular di bahagian Sri Aman dan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.