Berita

Penempatan dan sekolah dilanda banjir
Tarikh : 12 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

MIRI: Beberapa kawasan penempatan penduduk dan sekolah di sekitar Hulu Baram, Long Lama dan Saeh Niah dilanda banjir semalam. 

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba II Ahmad Nizam Sapaiee berkata di Saeh, Niah terdapat dua rumah panjang dan sebuah sekolah terjejas akibat banjir.

“Rumah Ayai, Rumah Nelson Ningkan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Mentali di Saeh antara kawasan terjejas banjir di sini. 

“Kedua-dua rumah panjang masih mengalami banjir di kawasan halaman dengan kedalaman lebih kurang dua kaki dan di SK Rumah Mentali kawasan padang ditenggelami air pada paras satu meter.

 “Jalan masuk ke Saeh dilimpahi air di beberapa tempat dengan kedalaman kurang daripada satu kaki dan jalan dapat dilalui kenderaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

Ahmad Nizam berkata, di Hulu Baram pula Kampung Long Bemang antara dinaiki banjir bermula jam 6 pagi dengan kedalaman paras air satu kaki dan menjejaskan 100 rumah didiami kira-kira 530 penduduk. 

“Tiada perpindahan dibuat namun bekalan elektrik ditutup di kawasan terjejas demi keselamatan penduduk,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau berkata sekolah terjejas banjir di Hulu Baram ialah SK Long Wat, SK Long Panai, SK Penghulu Baya Mallang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh, SK Long Miri, SK Long Laput dan SK Morek.

Selain itu, kejadian banjir turut menjejaskan kehidupan penduduk yang tinggal berdekatan pekan Long Lama. 

 “Hujan berterusan di pekan Long Lama menyebabkan banjir dengan paras setinggi satu kaki bermula jam 6 pagi. 

“Antara terjejas adalah rumah penduduk berdekatan dengan sungai namun tiada pemindahan dilakukan setakat ini,” katanya.