Berita

Jangan beli ubat terkawal untuk NCD tanpa preskripsi doktor
Tarikh : 11 May 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Orang ramai dinasihati tidak membeli ubat terkawal bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) atau jangkitan kronik dari farmasi tanpa nasihat atau preskripsi daripada doktor bertauliah.

Demikian menurut pengamal perubatan, Dr Forest Kang Kee Yeow yang juga merupakan ahli Persatuan Patriot Sarawak (SPA) pada sidang media di sini, semalam.

"Kesedaran orang ramai akan hal ini amat penting kerana ia berupaya menyelamatkan lebih ramai nyawa, namun dalam banyak kes, mereka berjumpa dengan doktor apabila keadaan mereka sudah melarat.

"Saya nasihati mereka jangan meneka penyakit, jika sakit dan berasa pelik dengan gejalanya, sila berjumpa terus dengan doktor," katanya.

Beliau menegaskan, satu lagi kesilapan kebanyakan orang hari ini ialah mereka tidak menyoal doktor dan akur dengan apa sahaja rawatan dan ubatan yang diberikan kepada mereka.

Masyarakat hari ini katanya, harus menteladani masyarakat di barat yang menyoal rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka.

"Adalah sangat menyedihkan untuk melihat ramai pesakit saya yang telah meninggal dunia sedangkan penyakit mereka itu jika dirawat lebih awal boleh dicegah daripada menjadi lebih teruk," tegasnya.