Pemberian dos penggalak jenis Pfizer di Sarawak ikut polisi KKM |
Tarikh : 12 Nov 2021 Sumber Berita: Utusan Borneo |
KUCHING: Pemberian dos penggalak di seluruh Sarawak adalah mengikut polisi terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Rosemawati Ariffin berkata hanya vaksin jenis Pfizer (Comirnaty) dibenarkan sebagai dos penggalak kepada penerima dos primer Pfizer atau Sinovac. “Bagaimanapun vaksin jenis Sinovac (Coronavac) hanya digunakan sebagai dos penggalak di dalam keadaan tertentu sekiranya penerima vaksin mempunyai kontrapenunjukan (kontraindikasi) atau alahan kepada vaksin jenis Pfizer. “Pemberian dos penggalak juga diberi dengan mengambil kira kategori keutamaan golongan berisiko dan jarak masa yang telah ditentukan mengikut jenis vaksin dos primer diterima sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. Dr Rosemawati berkata polisi berkenaan adalah sejajar dengan pekeliling serta arahan semasa berkenaan pelaksanaan pemberian dos penggalak dan dos ketiga daripada KKM. Beliau berkata demikian mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang yang mempersoalkan adanya vaksin penggalak jenis Sinovac diberikan kepada penduduk Sabah berbanding penggunaan vaksin jenis Pfizer di Sarawak. Sementara itu semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan, Sarawak telah melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 mulai 13 Oktober 2021. Katanya setakat 10 November 2021 sebanyak 266,435 orang telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19. Jessica Jawing
|