Berita

Ekopelancongan tanah tinggi Ba'Kelalan terus berkembang
Tarikh : 11 Nov 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 

BA’KELALAN: Sektor ekopelancongan di Ba’kelalan yang terkenal dengan produk pelancongan tanah tinggi, dijangka terus berkembang seiring peralihan negara ke fasa endemik COVID-19.

Perkembangan sektor itu juga bakal disokong dan dipacu seiring dengan usaha kerajaan Sarawak untuk membina dan menaik taraf jalan raya di Ba’kelalan yang akan diintegrasi dengan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang akan disiapkan dalam beberapa tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) berkata menerusi kemudahan jalan raya baharu itu, Ba’kelalan yang terkenal dengan pemandangan indah gunung-ganang, tanaman padi bukit atau beras Adan dan telaga garam bukit akan terus menjadi destinasi tumpuan pelancongan yang menarik di Bumi Kenyalang.

Katanya, antara tarikan utama di sini ialah keunikan proses pembuatan garam bukit oleh masyarakat Lun Bawang yang masih menggunakan kaedah tradisional, sekali gus dapat mengekalkan kualiti tinggi produk garam ini.

“Bagi produk garam bukit ini, kita akan usahakan untuk tambah baik aspek pembungkusannya dan pada  masa sama mengekalkan elemen tradisional agar dapat mengetengahkan nilai keasliannya selain keunikan seni etnik Lun Bawang di sini. Memang kita harus ikut arus pemodenan tapi jangan kita lari daripada cara tradisi kita...kerana ini juga satu tarikan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, pelancong juga dapat mencuba sendiri proses penghasilan garam secara tradisional manakala pengusaha garam di sini diminta menyediakan pameran produk berkenaan  agar pengunjung dapat memperoleh maklumat dan seterusnya membeli produk berkenaan sebagai buah tangan.

Awang Tengah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi ekopelancongan di Ba’Kelalan baru-baru ini dengan disertai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong yang juga Ahli Parlimen Lawas.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Hutan Sarawak akan terus menyalurkan bantuan termasuk keperluan infrastruktur untuk meningkatkan mutu penghasilan garam bukit di Ba’Kelalan.

Sementara itu, seorang daripada penduduk yang terlibat dalam perusahaan itu, Liau Salutan, 76, berkata perusahaan produk garam bukit itu dijalankan secara bergilir-gilir oleh penduduk kampung di situ yang melibatkan kira-kira 40 keluarga.

“Untuk mendapatkan 60 kilogram garam bukit, proses memasak air masin dari telaga memakan masa antara lima hingga ke tujuh hari sehingga ia kering dan menjadi kasar seperti pasir,” katanya mempunyai lebih 50 tahun berpengalaman mengusahakan garam bukit itu.

Di Ba’Kelalan juga terdapat beberapa kampung yang menyediakan kemudahan inap desa dengan panorama perkampungan, sawah padi, ternakan kerbau yang dikelilingi gunung-ganangnya di samping cuacanya yang dingin dan berkabus pada waktu pagi dan selepas hujan.

Ba’kelalan yang menjadi ‘pintu masuk’ ke puncak tertinggi di Sarawak, iaitu Gunung Murud juga destinasi popular bagi para peminat sukan mendaki dan rekreasi meredah hutan.

Di sini, pengunjung boleh melawat ke Taman Negara Pulong Tau dan menikmati keindahan tiga air terjun di sepanjang Sungai Kumap yang boleh diakses dengan berjalan kaki selama satu jam dari Kampung Buduk Nur, dekat sini. - BERNAMA