Berita

Sabah rekod 364 kes baharu COVID-19
Tarikh : 08 Nov 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

 

 

KOTA KINABALU: Sabah terus mengalami trend penurunan kes baharu COVID-19 hari ini apabila hanya merekodkan 364 kes sahaja.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan adalah lebih rendah (kurang 41 kes) berbanding kes pada hari sebelumnya.

"Bagaimanapun, peratusan kes-kes baharu yang diperolehi melalui saringan bergejala kekal tinggi pada tahap 38.2 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

"Kes-kes kategori ini sering dikaitkan dengan kegagalan mematuhi SOP khususnya semasa berkumpul atau berada dikhalayak ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ianya boleh dibuktikan melalui dapatan kes daripada kluster baharu yang mencul sekali sekala.

 

Katanya, walaupun Sabah tidak merekodkan sebarang kluster baharu hari ini, tetapi rakyat diharapkan agar mengambil berat pematuhan SOP ketika negeri ini melangkah ke fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

"Daripada 364 kes hari ini, 98 peratus adalah pesakit-pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2. 

"Dua orang pesakit sahaja dalam Kategori 3 dan dua orang dalam Kategori 4, seorang dalam Kategori 5. 

"Tiga kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. 96.2 peratus daripada jumlah pesakit semalam adalah warganegara Malaysia," katanya.